BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Rabu, 2 Disember 2009

BIOGRAFI PENYAIR - DATO' DR. USMAN AWANG



Bak kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.” Biarpun hampir sedekad beliau pergi meninggalkan kita, namun dari lembaran karya-karya agung yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Semasa hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang penyair hebat dan ahli drama yang prolifi k. Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Setiabudi, antara nama pena beliau yang termasyhur. Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Dr. Dato’ Usman Awang.

Meniti Ranjau Kehidupan
Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya kepada Usman Awang. Tokoh ini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Ibunya, Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Usman Awang menerima pendidikan setakat darjah enam Sekolah Melayu sahaja. Faktor kemiskinan tidak mengizinkannya mengecap kejayaan yang lebih baik. Beliau pernah menuntut di daerah Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940). Ketika Jepun melanda Malaya pada tahun 1942, Usman Awang memerah keringat sebagai seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Beliau pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat. Kemudian memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah. Selepas itu, Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka.

Melangkah ke Dunia Persuratan Melayu
Pada tahun 1951, beliau berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf di Melayu Raya selama enam bulan. Beliau kemudian menjadi seorang pemberita. Sesudah itu beliau bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang. Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun 1962, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya ialah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Bermula pada Mei 1982,beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sehingga bersara pada bulan Julai 1985.

Antara Karya Hebat
Usman Awang mula mencipta nama dalam dunia persuratan Melayu moden dengan penulisan sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Lantaran keistimewaan yang ada dalam sajaknya yang menarik, ia acap kali menjadi pilihan anak-anak sekolah juga masyarakat awam dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular ialah Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh, Bunga Popi, Gadis Di Kuburan, dan Salam Benua. Manakala novel penulisannya yang masyhur sehingga kini ialah Tulang-tulang Berserakan. Begitu juga dengan cerpennya yang hebat seperti Untuk Malaya Merdeka, Turunnya Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan sebagainya. Di samping itu, drama beliau yang bertajuk Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan – Jebat, Serunai Malam turut dipentaskan.

Petikan esiswa Ogos 2009

0 ulasan: